Friday, August 29, 2014

PENGURUSAN TINGKAH LAKU MURID PKBP


1.0 PENGENALAN 

Setiap ibu bapa mahukan anak-anak yang dilahirkan normal dan cukup sifatnya. Namun begitu ketentuan Allah SWT tiada siapa yang dapat menghalang. Kelahiran anak-anak istimewa atau kanak-kanak berkeperluan khas memang menjadi satu tamparan dan cabaran buat ibu bapa. Sebagai insan, kanak-kanak berkeperluan khas juga perlu mendapat layanan dan pendidikan yang sewajarnya dari keluarga, masyarakat dan juga pihak sekolah. 

Kanak-kanak berkeperluan khas merupakan kumpulan kanak-kanak yang mengalami ketidaknormalan sama ada dari segi fizikal, mental, emosi atau tingkah laku. Mereka merupakan kumpulan kanak-kanak yang telah dikenalpasti dan disahkan oleh pakar-pakar professional klinikal sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian kanak-kanak seperti kebolehan kognitif tingkah laku (perkembangan social), penguasaan bahasa lisan (pertuturan) dan membaca, kemahiran perkembangan dan kemahiran matematik. Seringkali kanak-kanak berkeperluan khas dikaitkan dengan permasalahan tingkah laku. Tahap kefungsian mereka yang rendah mendorong timbulnya permasalahan tingkah laku di kalangan mereka. Berbagai masalah ditimbulkan sama ada semasa berada di dalam kelas, di luar kelas mahupun di rumah. 

Dewasa ini, tingkah laku bermasalah di kalangan kanak-kanak berkeperluan khas ini juga telah menjadi topik perbincangan yang seringkali diperkatakan. Sehubungan dengan itu, saya telah membuat rujukan dan kajian berkaitan permasalahan tingkah laku di kalangan murid-murid berkeperluan khas. Ini bertujuan mendapatkan maklumat lengkap berkaitan permasalahan tingkah

laku yang sering berlaku di kalangan murid-murid berkeperluan khas.

No comments:

Post a Comment